2024-06-25 berita.rtm.gov.my HaiPress
Menteri Pelaburan,Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
KUALA LUMPUR,25 Jun - Kerajaan akan mengambil pelbagai langkah untuk menambah baik kemudahan infrastruktur udara yang menyokong majoriti pergerakan eksport semikonduktor negara bagi menjayakan aspirasi Pelan Strategi Semikonduktor Kebangsaan.
Menteri Pelaburan,Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Pengangkutan berkaitan isu tersebut tidak lama lagi.
Katanya sebanyak 90 peratus daripada eksport negara disokong oleh pengangkutan udara.
“Eksport ke negara-negara luar melalui Singapura agak besar kerana mereka mempunyai infrastruktur yang cekap terutamanya bagi sektor berteknologi tinggi ini.
“Di Pulau Pinang,ada syarikat penerbangan sanggup membawa pesawat kargo 777 tetapi malangnya pesawat itu tidak boleh mendarat di sana.
“Begitu juga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ada beberapa cadangan untuk kita perbesarkan lagi lapangan terbang kita di Senai,Johor,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Pada masa yang sama,katanya kerajaan juga akan memanfaatkan pengangkutan darat terutamanya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan industri di negeri-negeri Wilayah Pantai Timur.
“Kerajaan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sentiasa mengambil langkah-langkah yang proaktif dalam menarik pelaburan asing dan tempatan dalam pelbagai sektor ke mana-mana negeri di Malaysia,” katanya.
Tengku Zafrul berkata kerajaan negeri Kelantan telah memberikan sokongan yang amat baik dalam memastikan industri elektrik dan elektronik turut berkembang di negari itu seperti melalui kehadiran syarikat Rohm Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd dengan nilai pelaburan lebih RM1.7 bilion.
Katanya pelaburan itu telah mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,terutamanya dalam bidang kejuruteraan serta sains dan teknikal.
Beliau berkata kerajaan akan sentiasa menyokong dan terbuka untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam pelan pembangunan masing-masing untuk melihat potensi dan peluang bagi menarik pelaburan berkualiti seperti bidang reka bentuk litar bersepadu. - BERNAMA