2024-06-30 berita.rtm.gov.my HaiPress
FOTO Pusat Gerakan Operasi Sarawak
KOTA SAMARAHAN,30 Jun- Sebuah blok bangunan sekolah lama jenis tidak kekal di Kota Samarahan musnah 100 peratus dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sarawak hari ini mengesahkan kejadian tersebut dalam satu kenyataan media.
Menurut kenyataan tersebut,PGO telah menerima panggilan pada pukul 1.18 pagi yang melaporkan tentang kejadian yang melibatkan kebakaran sebuah blok bangunan di Sekolah Kebangsaan Muhibbah,Jalan Tanjung Bako.
Dua buah jentera FRT bersama 16 anggota Bomba,termasuk pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba Kota Samarahan dengan bantuan daripada Balai Bomba Tabuan Jaya telah digegaskan lokasi kejadian dan tiba pada pukul 2.00 pagi.
Operasi pemadaman yang diketuai oleh Komander Operasi Kanan,Ketua Balai Bomba Kota Samarahan,Ebby Hirwandy Sarbini,berjaya memadam kebakaran tersebut pada pukul 4.00 pagi selain mengawal api daripada merebak ke bangunan lain yang berhampiran.
Punca kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan.