2024-07-21 berita.rtm.gov.my HaiPress
Foto RTM
KOTA TINGGI,21 Julai - Kapal MT Ceres 1 yang dilaporkan meninggalkan lokasi perlanggaran di Perairan Tanjung Sedili,di sini,semalam telah dijumpai di 28 batu nautika Pulau Tioman,Pahang kira-kira pukul 1.20 pagi tadi.
Ketika dijumpai,kapal berdaftar dari Republik Demokratik Sao Tome dan Principe itu sedang ditunda dua buah bot tunda dipercayai dari Singapura.
Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana Maritim,Maritim Malaysia,Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Mad Yunus berkata,kapal KM Pekan bertindak memintas kapal berkenaan selain menahan dua buah bot tunda tersebut.
Pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menjalankan siasatan lanjut bersama-sama Jabatan Laut Malaysia (JLM) bagi mengetahui punca kapal berkenaan beredar dari lokasi perlanggaran.
Sementara itu,tinjauan udara dijalankan Maritim Malaysia mendapati terdapat sedikit kesan tumpahan minyak di lokasi perlanggaran.
Perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pemantauan akan dijalankan berhubung isu itu.
Pada insiden 19 Julai lalu,kapal MT Hafnia Nile dengan MT Ceres 1 dilaporkan berlanggar di Perairan Tanjung Sedili,di sini.