2024-08-22 berita.rtm.gov.my HaiPress
JBPM
LAHAD DATU,22 Ogos- Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah kayu di Kampung Telisai,Tungku di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata mayat Mohd Qalish Abdul Jumain itu ditemukan oleh anggota bomba di dalam bilik rumah terbabit.
"Panggilan kebakaran diterima pada 9.46 malam dan sepasukan 15 anggota bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 55 kilometer dari bandar.
"Pasukan bomba melakukan operasi pemadaman kebakaran dengan bantuan Pasukan Bomba Sokongan Felda Sahabat. Tiga motosikal turut musnah," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Menurut Sumsoa operasi ditamatkan sepenuhnya pada 12.45 tengah malam,dan punca kebakaran masih dalam siasatan. -BERNAMA