2024-08-28 berita.rtm.gov.my HaiPress
Tanah mendap baharu berlaku kira-kira 20 meter dari lokasi tanah jerlus di Jalan Masjid India,Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR,28 Ogos- Kejadian terbaharu mendapan tanah di sekitar Jalan Masjid India di sini yang berlaku awal pagi tadi melibatkan ukuran sedalam lebih kurang dua kaki.
Tinjauan pemberita RTM mendapati ia berlaku kira-kira 20 meter (m) dari lokasi insiden tanah jerlus membabitkan seorang wanita dari India minggu lepas.
Ketika ini pihak media masih menunggu butiran lanjut daripada pihak berkuasa mengenai kejadian terbaharu itu.
Polis turut meluaskan sekatan di sekitar Jalan Masjid India. Ia meliputi keluasan hampir 500m dari lokasi tanah mendap sebagai langkah keselamatan.
Jumaat lepas,mangsa,Vijayaletchumy,48,dari Kuppam,Andhra,India hilang dalam tanah jerlus selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari keenam hari ini.
Belum ada sebarang petunjuk positif kepada penemuan mangsa setakat ini.