2024-09-11 berita.rtm.gov.my HaiPress
Foto FB PM
KUALA LUMPUR,10 September - Kerjasama yang dipertingkatkan dalam sektor utama dan inovatif baharu telah membina asas kukuh antara Malaysia dan China.
Usaha tersebut berupaya memacu prestasi ekonomi kedua-dua negara ke satu tahap yang lebih baik.
Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin hubungan yang dibina itu juga didasari hubungan bilateral yang telah terjalin sejak sekian lama,terutamanya dengan sokongan hubungan dagangan dan pelaburan yang kukuh dalam kalangan komuniti usahawan Cina.
"Dari Asia Tenggara ke Asia Timur,Amerika Syarikat,Kanada,Eropah dan Afrika,usahawan Cina telah bekerjasama rapat dengan orang lain dan telah meletakkan asas untuk menempa hubungan perniagaan dan ekonomi yang lebih mendalam dan kukuh merentasi sempadan negara," Perdana Menteri menyatakannya pada Konvensyen Usahawan Cina Sedunia Ke-17 di ibu negara.
Beliau pada masa sama mengulangi tekad bahawa Kerangka Ekonomi MADANI memberi tumpuan dalam membina ekosistem kondusif dan mesra pelabur.
Disamping kerjasama ekonomi yang erat dengan negara China akan terus diperkukuh dengan tumpuan kepada aktiviti perdagangan dan teknologi termaju.
Tambah Perdana Menteri,menjelang kepengerusian ASEAN tahun 2025,beliau menyeru kepada usahawan untuk meneroka peluang pelaburan dengan negara di rantau ini bagi mewujudkan landskap ekonomi ASEAN yang lebih maju dan makmur.