Rumah Permainan hiburan Produk Teknologi Perniagaan setiap minggu Gambar kereta Komuniti pemain Lebih

Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 27 peratus pada Julai- DOSM

2024-09-11 berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto hiasan

KUALA LUMPUR,11 September- Pengeluaran getah asli (NR) Malaysia meningkat sebanyak 27.0 peratus kepada 37,960 tan pada Julai 2024 berbanding 29,881 tan yang dicatatkan semasa Jun 2024,menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Perbandingan dari tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menokok 33.0 peratus daripada 28,533 tan metrik pada Julai 2023.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengeluaran getah asli Julai telah dipacu oleh sektor pekebun kecil pada 87.5 peratus berbanding hanya 12.5 peratus oleh sektor estet.

“Jumlah stok getah asli pada Julai 2024 menurun 7.6 peratus kepada 148,096 tan metrik daripada 160,352 tan metrik pada bulan sebelumnya,manakala kilang pemproses getah menyumbang 88.7 peratus daripada stok diikuti oleh kilang pengguna getah (11.1 peratus) dan ladang getah (0.2 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Manakala,eksport getah asli Malaysia mencecah paras 48,199 tan metrik pada Julai 2024,bertambah 21.1 peratus berbanding Jun 2024 (39,803 tan metrik),disumbangkan oleh produk-produk NR seperti sarung tangan,tayar,tiun dan benang getah.

China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport NR iaitu berjumlah 30.0 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Julai 2024 diikuti Emiriyah Arab Bersatu (12.3 peratus,India (11.6 peratus,Jerman (10.6 peratus) dan Amerika Syarikat (AS) (6.7 peratus).

“Sarung tangan merupakan eksport utama produk berasaskan getah dengan nilai RM1.4 bilion pada Julai 2024,melonjak 11.2 peratus berbanding Jun 2024 (RM1.2 bilion),” katanya.

Memetik laporan Malaysia Rubber Board Digest yang diterbitkan pada Julai 2024,DOSM berkata pasaran getah Kuala Lumpur adalah bercampur-campur semasa tempoh tinjauan dengan harga SMR 20 bergerak dalam jajaran kecil.

Sementara itu,harga lateks pekat (60 peratus kandungan getah kering),merosot sepanjang bulan sebelum pulih sedikit menjelang akhir bulan.

Secara amnya,sentimen pasaran disokong oleh bekalan getah asli yang agak terhad akibat kebimbangan ramalan cuaca buruk di kebanyakan negara pengeluar serta disokong oleh data ekonomi AS yang positif dan ditambah dengan harapan lebih banyak langkah rangsangan yang didorong oleh prestasi ekonomi China yang lemah.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Permainan Nut    Hubungi kami SiteMap