2024-09-15 berita.rtm.gov.my HaiPress
FOTO JPJ NEGERI PULAU PINANG
KUALA LUMPUR,14 September- Sebanyak 39 buah bas ekspres dan bas persiaran dikenakan tindakan saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Pulau Pinang kerana tiada pemandu kedua bagi perjalanan jarak jauh (perjalanan melebihi 300 km atau pemanduan melebihi empat jam).
Menerusi satu hantaran di laman Facebook JPJ Pulau Pinang,tindakan itu diambil dalam Operasi Khas JPJ Negeri Pulau Pinang terhadap Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam ( Bas Persiaran dan Bas Ekspres ) yang diadakan di Plaza Tol Juru.
"Penguatkuasaan bermula pukul 11.00 malam hingga 6.00 pagi dengan kekuatan anggota seramai 26 orang," menurut hantaran tersebut.
Antara kesalahan lain dikesan,tiada Lesen Perubahan Sementara (LPS),tiada lesen memandu,tiada lesen memandu Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV),tidak kemaskini buku log pemandu,gagal selenggara kenderaan dengan baik dan kesalahan teknikal.
Sebanyak 219 notis saman dan kesalahan teknikal telah dikeluarkan.
Pemandu dan pengusaha Kenderaan Perkhidmatan Awam adalah dinasihat supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa serta kenderaan selamat digunakan di jalan raya.