2024-09-19 berita.rtm.gov.my HaiPress
Mohamad ketika ditemu bual pemberita RTM di MAHA 2024/ Foto FB Mohamad Sabu
SERDANG,19 September- Kemajuan teknologi dalam pertanian telah menarik ramai anak muda untuk mengenali lebih dekat sektor tersebut.
Menerusi Pameran Pertanian,Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024,Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan,Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui ramai anak muda yang tertarik dengan Kecerdasan Buatan (AI) serta Internet Kebendaan (IoT).
"Mereka juga ingin melihat simulasi penaburan baja,pembuatan racun,dan sebagainya. Kesemua aktiviti seperti penyemburan racun kini diusahakan secara automatik melalui dron yang dikawal oleh IoT.
"Penglibatan anak muda dalam bidang pertanian,khususnya melalui teknologi hijau seperti tanaman berbumbung atau dalam persekitaran terkawal seperti di dalam bilik berhawa dingin..contohnya,tanaman sayur dan 'vertical farming' menunjukkan bagaimana faktor cuaca dapat dikawal. Ini bermakna,menjadi penanam sayur hari ini membolehkan seseorang memakai kot dan tali leher,menjadikan pertanian lebih moden dan menarik minat golongan muda," katanyaketika menjadi tetamu dalam rancangan terbitan RTM di sini.
Bertemakan ‘Menuai Harapan,Membina Masa Hadapan’,MAHA 2024 merupakan pameran pertanian utama dan terbesar di Asia Tenggara yang menampilkan 48 segmen melibatkan aktiviti pameran dan jualan.
Antaranya 'Kingdom of Fruit',Laman Sayur dan Herba,Laman Perikanan dan Laman Mekanisasi.
Sementara itu,Mohamad berkataMAHA 2024 berjaya melepasi sasaran jumlah pengunjung sejak hari pertama penganjurannya.
Menurut Mohamad,ini merupakan pencapaian yang membanggakan bagi kementerian,selain menandakan rakyat sudah berminat terhadap sektor pertanian dan penternakan.
"Makanan laku dan banyak dijual. Saya berpuas hati,terutama dengan jualan tanaman dan ternakan. Ini menunjukkan bahawa hasrat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk melibatkan rakyat dalam pertanian,penternakan dan bidang berkaitan telah tercapai," katanya.
Dalam pada itu,Mohamad menyeru orang ramai untuk hadir memeriahkan lagi MAHA 2024 yang berbaki empat hari lagi.
Jelasnya,pelbagai program dan aktiviti menarik telah diatur,selain pengunjung kelima juta bakal dihadiahkan sebuah kereta.
"Kehadiran yang amat memberangsangkan.. kita menyasar kehadiran sebanyak tiga juta orang sepanjang MAHA dari 11 hingga 22 September ini. Namun,jumlah tiga juta telah dicapai kelmarin. Pengunjung yang ketiga juta telah diberi hadiah sebuah motosikal. Sekarang,kami berharap lebih ramai pengunjung akan datang,dengan sasaran sebanyak 5 juta. Pengunjung yang kelima juta akan dihadiahkan sebuah kereta," katanya.
BERITA BERKAITAN:
MAHA: Kerbau bersaiz gergasi di Laman Agro-Food Ternakan
MAHA 2024: KKDW sasar nilai jualan RM500,000
Lebih 120,000 pengunjung ke Laman perikanan MAHA
Parkir percuma di MAHA 2024 bermula hari ini