2024-10-15 HaiPress
Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim,menjawab soalan semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga,Penggal Ketiga,Parlimen ke-15 yang diadakan di Bangunan Parlimen,hari ini/Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR,15 Oktober - Kepengerusian ASEAN 2025 menjadi platform terbaik memperkenal Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik,kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata selain fokus kepada hubungan diplomatik,ASEAN 2025 juga memberi ruang untuk mengembangkan kegiatan perdagangan dan pelaburan.
"Keistimewaan ASEAN 2025 yang dipengerusikan Malaysia adalah kerana libatkan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Plus China serta dunia Arab.
"Keduanya,ada persidangan besar antarabangsa yang melibatkan swasta dan pelabur utama. Ini tanpa melibatkan dana kerajaan sebab ini adalah anjuran swasta," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut,Perdana Menteri berkata tiada negeri terkecuali daripada penganjuran ASEAN 2025 bagi menerima limpahan ekonomi sama seperti di ibu negara.
Beliau menjawab pertanyaan Tampin,Datuk Mohd Isam Mohd Isa berhubung penyertaan Kerajaan Negeri dan Swasta pada sidang kemuncak berkenaan.
Anwar berkata,beliau sudah memutuskan beberapa negeri seperti Perlis dan Kelantan untuk diadakan perbincangan diperingkat pegawai ASEAN.