2024-10-15 HaiPress
Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi ketika ditemui RTM Sarawak
KUCHING,15 Oktober- Peruntukan bagi bekalan elektrik dan air untuk kegunaan kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak diharap dapat dinaikkan menerusi Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak,Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata peruntukan sedia ada belum mencukupi untuk menampung keperluan penduduk ketika ini.
"Walaupun dalam tempoh tiga hingga empat tahun ini,kita berusaha memastikan bekalan elektrik dan air disalurkan ke kawasan-kawasan yang jauh namun ia masih belum mencukupi," jelasnya ketika ditemui RTM Sarawak di Kuching.
Sementara itu,Datuk Dr Abdul Rahman optimis pertambahan peruntukan tersebut nanti akan membantu Sarawak dalam memastikan setiap isi rumah di negeri berkenaan dapat menikmati bekalan air bersih dan elektrik sepanjang masa.
Selain itu,beliau yang juga ADUN Pantai Damai berharap Belanjawan kali ini akan memberi perhatian terhadap keperluan menaik taraf laluan yang menghubungkan penduduk luar bandar,membina jambatan,membaik pulih fasiliti di sekolah serta bangunan pusat perubatan.