2024-10-20 HaiPress
FOTO RTM
GUA MUSANG,20 Oktober - Komuniti Orang Asli di Pos Bihai bimbang apabila tanaman sara diri yang diusahakan bagi menghadapi musim tengkujuh sering diancam gajah liar.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli Kampung Tendrik,Apek Asud berkata hasil tanaman yang telah membuahkan hasil itu sepatutnya boleh dituai bulan depan atau Disember ini.
"Habis musnah tanaman seperti pisang,getah,sayur-sayuran dan ubi kayu disebabkan gangguan gajah liar. Baru-baru ini,terdapat rumah di Kampung Chemal Bihai Lama terbalik disebabkan gajah. Malah bukan sahaja gajah,harimau turut muncul," jelasnya.
Penduduk,Adek Along pula berharap bantuan makanan dapat disegerakan pihak berkaitan sebelum musim tengkujuh agar penghantaran barang mudah dilakukan.
Sementara itu,Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) Kelantan menyarankan beberapa garis panduan sekiranya terserempak dengan gajah liar termasuk mengelak melakukan provokasi terhadap haiwan liar terbabit.
PERHILITAN turut menasihatkan penduduk agar membersihkan kawasan sekitar kebun dan rumah serta keluar bekerja secara berkumpulan.