2024-10-20 HaiPress
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Prabowo Subianto/ Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim
JAKARTA,20 Oktober- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Prabowo Subianto atas pelantikannya sebagai Presiden baharu Indonesia,hari ini.
"Saya mewakili Kerajaan Malaysia menyampaikan ucapan selamat memulai tugas pada sahabat lama saya,Prabowo,” kata Anwar kepada media Malaysia.
Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada bekas Presiden Joko Widodo atas khidmat beliau selama ini dan mengiktiraf usahanya dalam mengekalkan hubungan baik dua hala antara Malaysia dan Indonesia.
Kehadiran Perdana Menteri di majlis itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama serantau di bawah kepimpinan baharu Prabowo.
Kedua-dua pemimpin juga sempat bertemu secara santai di kediaman Prabowo pada malam sebelumnya dengan mereka membincangkan pelbagai isu dan inisiatif untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor.
Sejak menjawat jawatan pada November 2022,Anwar sentiasa memberi keutamaan kepada Indonesia sebagai rakan diplomatik utama,dengan lawatan rasmi pertamanya ke negara itu pada Januari 2023,disusuli dengan penyertaannya di Sidang Kemuncak ASEAN di Labuan Bajo dan Jakarta tahun yang sama.
Selesai menghadiri majlis di bangunan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR),Perdana Menteri kembali ke tanah air dari Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma pada 1.00 petang waktu tempatan (2.00 petang waktu Malaysia).- BERNAMA