2024-11-04 HaiPress
Timbalan Menteri Pelaburan,Perdagangan dan Industri,Liew Chin Tong / Foto RTM
KUALA LUMPUR,4 November – Sebanyak 100 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam sektor pembuatan akan menerima manfaat daripada program Future Ready Financing (FRF).
Timbalan Menteri Pelaburan,Liew Chin Tong berkata inisiatif itu bertujuan membantu PKS menaik taraf operasi kepada kilang pintar menjelang 2027,yang dijangka mewujudkan lebih 500 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Katanya,FRF selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) untuk memperkasa PKS.
"Dengan bekerjasama rapat dengan PKS dan penyedia penyelesaian,kami akan membantu perniagaan mengintegrasikan automasi dan teknologi digital,meningkatkan produktiviti dan kecekapan,terutama dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan," katanya.
Liew berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Program Future Ready Financing (FRF) di ibu negara.
Beliau berharap melalui FRF,PKS dapat mengguna pakai teknologi Industri 4.0,mengakses analitik data masa nyata,serta melaksanakan sistem kilang pintar secara menyeluruh.
Inisiatif di bawah kendalian Malaysia Industrial Development Finance Berhad (MIDF) memperuntukkan dana berjumlah RM200 juta,dengan kerjasama Malaysia Technology Development Corporation (MTDC),SIRIM,dan penyedia penyelesaian teknologi.