2025-05-13 IDOPRESS
Pelabuhan Oakland/ Reuters
SHANGHAI,13 Mei- Saham di kebanyakan pasaran Asia meningkat hari ini susulan perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan China untuk mengurangkan tarif sementara.
Perjanjian yang dicapai dalam rundingan di Geneva minggu lepas itu mencetuskan keyakinan terhadap kemungkinan perang perdagangan global yang mereda.
Ketika dagangan bermula,Indeks Komposit Shanghai China (SSE) naik 16.99 mata kepada 3,386.23.
Purata saham Nikkei Jepun melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh hampir tiga bulan,meningkat 2.3 peratus sejurus selepas dibuka.
Di Korea Selatan,penanda aras Indeks Harga Saham Komposit Korea (KOSPI) kekal tidak berubah daripada penutupan sebelumnya.
KOSPI mengakhiri dagangan satu peratus lebih tinggi selepas Amerika Syarikat (AS) dan China memuktamadkan rundingan pusingan pertama mereka.
Menerusi perjanjian antara dua ekonomi besar dunia itu,Amerika Syarikat (AS) akan mengurangkan tarif tambahan yang dikenakannya ke atas import China kepada 30 peratus daripada 145 peratus untuk tempoh 90 hari akan datang.
Manakala duti China ke atas import AS diturunkan kepada 10 peratus daripada 125 peratus.- Reuters