Rumah Permainan hiburan Produk Teknologi Perniagaan setiap minggu Gambar kereta Komuniti pemain Lebih

Wartawan, wira senyap penyampai kebenaran

2025-06-04 HaiPress

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR,4 Jun - Setiap kali bencana melanda,wartawan tidak pernah berganjak daripada tugasan mereka untuk menyalurkan maklumat sahih kepada masyarakat.

Meskipun ada kalanya mendapat kecaman hebat di media sosial namun wartawan tetap cekal di barisan hadapan dengan berbekalkan perakam suara,nota dan mikrofon demi melaporkan situasi sebenar agar masyarakat menerima maklumat tepat dan sahih.

Bagi agensi keselamatan utama negara,peranan wartawan tidak pernah dipandang remeh,malah golongan ini dianggap sebagai wira tidak didendang yang berani menyampaikan fakta dan kebenaran tanpa dibayangi agenda provokatif.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata media sebagai antara rakan strategik utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memainkan peranan penting dalam memelihara ketenteraman awam melalui pelaporan beretika dan bertanggungjawab.

“PDRM amat menghargai peranan media bukan sekadar penyampai maklumat tetapi juga sebagai pemerhati yang mampu mencadangkan penambahbaikan terhadap penyampaian perkhidmatan agar pasukan kekal berintegriti dan diyakini,” katanya kepada Bernama.

Razarudin berkata kerjasama antara media dan agensi penguat kuasa turut selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai keterangkuman,ihsan,hormat dan tanggungjawab bersama.

“Diharapkan sinergi kerjasama dan ukhuwah yang terjalin antara pihak media dengan PDRM selama ini akan terus diperkukuh demi kedaulatan dan keamanan negara,” katanya.

Sementara itu,Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar menyifatkan wartawan sebagai penghubung utama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat,khususnya dalam memperjelas isu keselamatan secara holistik serta bertanggungjawab.

"Mereka (wartawan) ini amat penting sebagai jambatan kami untuk berhubung dengan masyarakat. Sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan boleh menjadi pakar rujuk agar setiap pelaporan itu dapat memberikan kesan yang diharapkan,” katanya.

Mohd Nizam berkata kerjasama antara ATM dan media perlu diperkukuh berlandaskan tiga asas utama iaitu hubungan baik,ketelusan dan komunikasi berterusan bagi memastikan penyampaian maklumat tepat dan efektif kepada masyarakat.

Dalam menghadapi cabaran pelaporan isu-isu berprofil tinggi,beliau berkata wartawan perlu memahami sempadan antara kepentingan awam dan keselamatan negara,serta menilai setiap maklumat berdasarkan keabsahan serta kesannya terhadap kestabilan negara.

“Semua laporan perlulah berasas,tahu apa yang sulit dan terbuka,ada maklumat perlu dijaga demi keselamatan negara," katanya sambil mencadangkan supaya wartawan memperluas ilmu dan membina kepakaran dalam bidang keselamatan supaya laporan dihasilkan lebih tepat dan berwibawa.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad pula berkata wartawan adalah rakan strategik penting dalam menyampaikan mesej berkaitan keselamatan kebakaran dan operasi penyelamatan kepada masyarakat.

Beliau berkata kerjasama media menunjukkan kesan positif apabila laporan khas dan dokumentari berjaya meningkatkan kesedaran awam terhadap bahaya kebakaran serta langkah pencegahan.

Nor Hisham berkata JBPM turut menganjurkan sesi libat urus seperti ‘Hari Bersama Media’ bagi memberi pendedahan langsung mengenai prosedur operasi semasa kebakaran,kemalangan jalan raya dan penyelamatan di air.

“Wartawan adalah rakan strategik kami dalam usaha menyelamatkan nyawa dan membina masyarakat yang lebih peka terhadap risiko kebakaran,” katanya.

Sebagai menghargai peranan dan sumbangan wartawan dalam pembangunan negara,Hari Wartawan Nasional (HAWANA) disambut pada setiap 29 Mei.

Bagi HAWANA 2025,kemuncak sambutan akan diadakan pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dengan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri kiri-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.

HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana,menampilkan pelbagai acara termasuk Pesta Pantun pada 31 Mei lepas dan forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun. - BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Permainan Nut    Hubungi kami SiteMap