2025-07-01 HaiPress
Foto hiasan
BUKIT MERTAJAM,30 Jun- Jawatankuasa tetap Majlis Media Malaysia (MMM) bakal dibentuk dalam tempoh enam bulan dari penubuhannya pada 14 Jun lalu.
Menteri Komunikasi,Datuk Fahmi Fadzil berkata,beberapa mesyuarat awal bakal dilaksana Ahli Lembaga Pengasas MMM dalam tempoh sebulan hingga dua bulan sebelum penubuhan terbabit dilaksana.
"Keutamaan sekarang adalah untuk membangunkan Majlis Media Malaysia (MMM) itu sendiri. Mereka telah adakan mesyuarat pertama tetapi proses membangunkan sudah pasti akan mengambil masa terutama aspek kewangan.
"Ssaya telah minta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi,Datuk Mohamad Fauzi Md Isa supaya meneliti cara yang paling berkesan untuk memastikan dana yang dirancang dapat disalurkan kepada pihak majlis media.
"Satu pemilihan perlu dilaksana untuk memilih jawatankuasa ataupun untuk memilih ahli majlis bagi majlis media," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas membuat lawatan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kubang Semang,Yayasan Aman,di sini.
Lawatan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi,Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Setakat ini,seramai 12 orang ahli Lembaga Pengasas MMM telah dimuktamadkan,merangkumi wakil daripada syarikat media,persatuan media,pengamal media bebas,dan ahli bukan media.