2025-07-01 HaiPress
Foto Facebook Amiruddin Shari
SHAH ALAM,30 Jun - Kerajaan Negeri Selangor akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas bagi meneliti laporan berhubung kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April lepas,yang membabitkan petugas kerajaan negeri,Persekutuan,Petronas serta agensi-agensi teknikal berkaitan.
Menteri Besar,Datuk Seri Amirudin Shari berkata,jawatankuasa ini seterusnya akan merangka pelan jangka panjang serta mencadangkan peraturan-peraturan baharu dan langkah pencegahan bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang lagi.
Hasil siasatan lengkap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang telah diselesaikan pada 26 Jun lepas berhubung insiden kebakaran itu akan diteliti dan langkah-langkah susulan termasuk aspek perundangan akan diperhalusi.
“Perundangan yang saya maksudkan adalah peraturan-peraturan yang boleh dicadangkan kepada pihak kerajaan negeri supaya kita boleh merangka satu langkah-langkah preventif terhadap peristiwa ini untuk memastikan peristiwa ini tidak berulang pada masa depan.
Pandangan daripada kerajaan persekutuan turut akan diambil kira supaya laporan ini dapat dipaparkan kepada orang awam," katanya pada sidang khas pembentangan laporan siasatan letupan paip gas Putra Heights,hari ini.
Sebelum ini Pejabat Menteri Besar Selangor dalam kenyataan memaklumkan,hasil siasatan teknikal insiden terbabit selesai pada 26 Jun mengikut jangkaan yang ditetapkan.
Insiden kebakaran itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus,81 separa musnah,57 terkesan,tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah,Puchong.
Sebelum ini,pasukan siasatan terbahagi kepada dua,dengan pasukan polis yang diketuai Ketua Polis Selangor,Datuk Hussein Omar Khan yang memberi tumpuan kepada unsur jenayah,sabotaj dan kecuaian; manakala pasukan JKKP bersama beberapa agensi menjalankan siasatan dari sudut keutuhan paip,keadaan serta situasi tanah kawasan sekitar,dan sebarang aktiviti luaran yang mungkin menjadi punca insiden tersebut.
Tiga aspek utama turut diberi perhatian iaitu keadaan fizikal saluran paip,kestabilan tanah di lokasi kejadian,serta pembangunan sekitar yang mungkin menjejaskan sistem paip bawah tanah.
Sebanyak 212 keterangan telah diambil oleh pihak polis dalam siasatan kebakaran tersebut merangkumi mangsa,saksi bebas,wakil petronas,pemaju,kontraktor serta pakar teknikal.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat,termasuk usaha menyelamat mangsa yang dilaksanakan dengan lancar,disusuli penyaluran bantuan awal serta pelaksanaan siasatan menyeluruh yang melibatkan 35 agensi berkaitan.