2025-07-03 IDOPRESS
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad,Mohd Azharuddin Mat Sah (tengah) pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Vendor ESG Hub,di Petaling Jaya,hari ini.
PETALING JAYA,2 Julai - Hampir 5,000 vendor dalam rantaian bekalan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dengan sebahagiannya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bakal menerima pendedahan dan latihan mengenai amalan kelestarian dan prinsip Alam Sekitar,Sosial dan Tadbir Urus (ESG) menerusi inisiatif Vendor ESG Hub.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad,Mohd Azharuddin Mat Sah berkata,inisiatif bertujuan bukan sahaja membantu vendor memahami amalan terbaik ESG,malah memperkasa keupayaan vendor melaksanakannya dalam operasi perniagaan masing-masing.
"Kami melaksanakan program ini secara berperingkat. Pada peringkat pertama,akan melibatkan dalam 30 hingga 50 syarikat yang telah dikenal pasti. Kami akan memberi pendidikan,kesedaran dan amalan terbaik.
"Usaha ini akan mengambil masa. Tetapi untuk jangka panjang,kita akan dapat menilai mana syarikat yang berada pada tahap baik. Jika berada pada tahap baik,ia bagus untuk syarikat itu dan pihak Prasarana juga," katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Vendor ESG Hub,di sini.
Inisiatif dilaksanakan sebahagian daripada hasil pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara pihak Prasarana dan UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) pada 16 Mei lalu.
Vendor ESG Hub merupakan sebuah platform digital komprehensif yang dibangunkan berasaskan empat segmen utama iaitu Menilai,Inspirasi,Belajar dan Buat.
Sementara itu,beliau memaklumkan selain daripada lebih 3,000 PKS,vendor antarabangsa dari Eropah dan Asia termasuk China dan Jepun akan turut terlibat.
"Kami akan bersama dengan mereka serta belajar bagaimana untuk menaik taraf dan ia akan diguna pakai untuk semua,sama ada vendor antarabangsa atau tempatan," ujarnya lagi.
Tambah Azharuddin,Vendor ESG Hub tersebut menjadi antara usaha pihaknya dalam mengurangkan pelepasan karbon.
"ESG merupakan topik yang sangat luas. Hasrat sebenar Prasarana adalah untuk mengurangkan pelepasan karbon. Antara yang hendak kami lakukan adalah mempengaruhi syarikat vendor melalui ESG portal,bagaimana mereka dapat kurangkan pelepasan karbon dalam operasi perniagaan mereka," jelasnya.