2025-07-15 HaiPress
Gobind Singh Deo
KUALA LUMPUR,15 Julai - CyberSecurity Malaysia (CSM) kini di peringkat akhir penyediaan strategi penguatkuasaan memfokuskan pengukuhan kepercayaan digital dan keselamatan data.
Menteri Digital,Gobind Singh Deo berkata,draf akhir strategi itu telah dibentangkan kepadanya minggu lalu dan akan dibentang ke Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan input dan kelulusan.
“Kita melihat bagaimana untuk membina satu ekosistem yang dipercayai secara menyeluruh.
"Konsep kepercayaan digital dan keselamatan data menjadi elemen utama dalam strategi ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sidang Kemuncak Keselamatan 5G dan Teknologi Operasi (5GOT) di ibu negara,hari ini.
Sidang kemuncak berkenaan menghimpunkan lebih 3,000 pemimpin industri serta 32 pakar dari 14 negara,termasuk wakil Kementerian Sains dan Teknologi dari Brunei,Kemboja,Singapura dan Vietnam.
Dalam pada itu,beliau turut mengesyorkan penubuhan sebuah agensi khusus bagi memastikan pelaksanaan strategi dan mekanisme keselamatan siber berjalan berkesan,serta mengelak pelaksanaan yang lemah.
“Sebaik mendapat input daripada semua kementerian berkaitan,barulah kita akan tentukan tindakan lanjut,termasuk keperluan menggubal rang undang-undang baharu,” jelas beliau.