2025-07-15 IDOPRESS
Foto hiasan
KUALA LUMPUR,15 Julai -Pasar getah Malaysia ditutup lebih rendah hari ini berikutan penurunan dalam harga minyak mentah selepas pasaran terjejas oleh amaran yang dikeluarkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke atas Rusia agar menamatkan Perang Ukraine dalam tempoh 50 hari selain mengancam sekatan ke atas pembeli minyak Rusia,kata seorang peniaga.
Ketika ini,harga minyak mentah Brent telah jatuh sebanyak 0.69 peratus kepada US$68.73 setong.
Peniaga itu menjelaskan sentimen pasaran turut dilemahkan oleh ketidakpastian yang tinggi terhadap tarif AS dan ketegangan geopolitik yang berterusan.
"Trump mengumumkan tarif perdagangan yang agak tinggi ke atas ekonomi-ekonomi utama pada minggu sebelum ini,yang terbaharu adalah pengenaan tarif 30 peratus ke atas Mexico dan Kesatuan Eropah," katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun,beliau menyatakan bahawa kerugian selanjutnya dalam pasaran getah telah dihadkan oleh rentetan data ekonomi China yang positif.
"Dilaporkan bahawa data keluaran dalam negara kasar menunjukkan ekonomi China melonjak daripada jangkaan pada suku kedua,ia menokok 5.2 peratus dari tahun ke tahun,melangkaui ramalan 5.1 peratus sebelumnya.
Manakala,pertumbuhan untuk enam bulan pertama 2025 berada pada 5.3 peratus,melepasi sasaran tahunan Beijing sebanyak lima peratus," katanya.
Pada 3 petang,Lembaga Getah Malaysia (MRB) melaporkan bahawa SMR 20 menurun sebanyak 1.5 sen kepada 716.50 sen sekilogram,manakala lateks pukal kekal tidak berubah pada 564.00 sen sekilogram.
-BERNAMA