
Paras air di Empangan Bukit Merah menunjukkan peningkatan kepada 6.09 meter berbanding 6.03 meter sebelum ini / Foto Hiasan / Bernama
IPOH,5 Ogos – Paras air di Empangan Bukit Merah menunjukkan peningkatan kepada 6.09 meter berbanding 6.03 meter sebelum ini,susulan Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dilaksanakan semalam.
Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak,beberapa kawasan tadahan empangan telah menerima taburan hujan hasil operasi yang dijalankan antara pukul 12 tengah hari hingga 2 petang.
"Kesan daripada operasi itu turut menyaksikan kapasiti simpanan empangan meningkat daripada 6.65 juta meter padu kepada 7.25 juta meter padu," menurut JPS menerusi kenyataan.
Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dilakukanTentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) / Foto FB TUDM
Bagaimanapun,empangan tersebut masih berada pada tahap Aras Henti Bekalan Pengairan,sebagaimana yang ditetapkan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada.Peningkatan simpanan air itu sedikit sebanyak membantu memanjangkan tempoh bekalan air bagi kegunaan domestik,namun bekalan pengairan ke Rancangan Pengairan Kerian masih belum dimulakan.Operasi pembenihan awan tersebut diketuai oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta agensi-agensi berkaitan.Tindakan itu diambil susulan fenomena Monsun Barat Daya yang menyebabkan penyusutan paras air di beberapa kawasan,terutamanya di Empangan Bukit Merah,Bagan Serai sejak bulan lalu.