2025-09-01 HaiPress
Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan AmBank,Firdaos Rosli. - Foto BERNAMA.
KUALA LUMPUR,29 Ogos - Ringgit dijangka mencecah paras 4.27 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini,didorong pengukuhan semula dolar Amerika Syarikat dan pengurangan sokongan daripada akaun dagangan Malaysia.
Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan AmBank,Firdaos Rosli berkata,ringgit dijangka kekal berlegar dalam julat 4.20 hingga 4.25 dalam beberapa bulan akan datang sebelum bergerak ke arah 4.27.
““Prestasi ringgit pada paras 4.27 hujung tahun ini banyak bergantung kepada keadaan pasaran global dan keputusan Fed sama ada mengurangkan kadar faedah secara agresif atau tidak.” katanya pada taklimat media prospek makroekonomi,di Menara Ambank,Kuala Lumpur.
Firdaos berkata,dasar monetari Malaysia yang stabil dan peningkatan aktiviti dagangan mata wang memberi sokongan kepada ringgit,selain kemungkinan pemotongan kadar faedah AS oleh Rizab Persekutuan (Fed) seawal September.
Beliau menjangkakan,ringgit berpotensi mengukuh pada separuh pertama 2026 apabila hala tuju dasar kadar faedah Fed lebih jelas disokong sentimen ekuiti serantau yang lebih positif.
Namun katanya,kesan positif itu mungkin terhad sekiranya tarif semikonduktor menjejaskan lebihan akaun semasa negara.
Bagaimanapun,ia mampu diimbangi peningkatan rizab asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun ini.
Tambahnya,sebarang kelemahan dalam pasaran buruh AS atau kebimbangan baharu terhadap fiskal dan dasar Fed,berpotensi mendorong pengukuhan mata wang Asia berbanding dolar AS.