2025-09-03 HaiPress
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah,Datuk Rubiah Wang/ Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR,3 September - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan usahawan kecil dan mikro di luar bandar tidak ketinggalan dalam arus digitalisasi negara.
Antara program yang dilaksanakan termasuk Onboarding Desa Mall,Pendigitalan Usahawan Desa,serta latihan ICT di Pusat Komuniti Desa (PKD).
Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah,Datuk Rubiah Wang,sejak tahun 2019,program Desa Mall telah berjaya membantu lebih 7,000 usahawan memasarkan produk mereka secara dalam talian.
Dalam masa sama,93,000 peserta telah menerima manfaat menerusi latihan ICT melalui PKD di seluruh negara.
Tambah beliau,kerjasama strategik dengan institusi kewangan,syarikat teknologi dan penyedia logistik turut diperkukuh bagi memastikan usahawan luar bandar dapat bersaing dalam ekonomi digital .
“KKDW melaksanakan tiga program untuk membantu usahawan kecil dan mikro luar bandar menyertai ekonomi digital dan e-dagang iaitu program Onboarding Desa Mall,program Pendigitalan Usahawan Desa dan juga program latihan ICT di pusat komuniti desa,” katanya di Dewan Negara.
Inisiatif itu diyakini mampu memperkukuh daya saing usahawan desa serta membuka lebih banyak peluang menjana pendapatan secara mampan dalam jangka panjang.