2025-09-18 HaiPress
Foto fail
KUALA LUMPUR,17 September- Malaysia menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan ekonomi dengan negara-negara Arab,khususnya dalam sektor strategik yang menjadi kepentingan bersama.
Menteri Pelaburan,Perdagangan dan Industri,Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata,bidang utama yang diberi tumpuan termasuk industri halal,peralihan tenaga,pembangunan ekonomi digital dan keterjaminan makanan.
“Hal ehwal ekonomi dan perdagangan semakin mendapat perhatian dalam dasar Malaysia terhadap Timur Tengah. Rantau ini bukan sahaja menjadi sumber pelaburan langsung asing (FDI),malah turut muncul sebagai pasaran utama bagi produk dan perniagaan Malaysia.
“Malaysia menawarkan ekosistem teknologi yang pesat berkembang,dengan peluang kerjasama dalam bidang fintech,e-dagang dan infrastruktur digital.
Usaha sama dalam keselamatan makanan dan pertanian juga penting bagi memastikan daya tahan bersama,khususnya dalam pengeluaran makanan,logistik dan inovasi pertanian,” katanya.
Ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan,Datuk Hairil Yahri Yaacob pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-15 dan Simposium Perniagaan Dewan Perniagaan Arab-Malaysia di ibu negara.
Menurutnya lagi,keyakinan Malaysia terhadap potensi kerjasama ini disokong oleh kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan mesra perniagaan dengan lokasi strategik di tengah ASEAN,tenaga kerja berkemahiran dan pelbagai bahasa,serta perlindungan undang-undang yang kukuh.
“Malaysia mengulangi komitmen untuk memperkukuh hubungan dengan rakan-rakan Arab bukan sahaja dalam perdagangan dan pelaburan,tetapi juga dalam bidang budaya,pendidikan,teknologi dan lain-lain,” katanya.