2025-10-13 HaiPress
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM,Datuk Luqman Ahmad / Foto RTM
BACHOK,12 Oktober - Sebanyak RM400 juta diperuntukkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menyelesaikan isu bekalan air untuk sektor pertanian di seluruh negara.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM,Datuk Luqman Ahmad berkata,peruntukan itu melibatkan pelaksanaan 18 projek naik taraf infrastruktur air,termasuk di kawasan perairan sawah padi.
Beliau berkata,penting untuk mengenal pasti langkah-langkah dan kaedah terbaik bagi menjamin bekalan air yang berterusan.
Menurutnya,isu air menjadi tumpuan utama kerajaan dalam membantu petani meningkatkan hasil pertanian selain bantuan input pertanian seperti baja dan racun.
"Kita akan mengenal pasti kaedah yang terbaik untuk memastikan bekalan air akan bertambah baik sebab kita tahu untuk meningkatkan infrastruktur air memerlukan satu perutukan yang besar yang tak mungkin dapat kita lakukan dalam masa setahun."
"Sebab tu saya kata tadi kita akan adakitaran belanjawan setiap tahun dan kita akan pastikan setiap tahun akan ada peruntukan bagi menaiktaraf infrastruktur air yang akan dibuat secara berperingkat," kata beliau.
Datuk Luqman berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan di sawah padi Kampung Keting,Bachok,hari ini.
Mengulas lanjut,beliau memaklumkan,daripada RM400 juta itu,RM28 juta diperuntukan bagi projek membina Stesen Pam Kasa Baru di Pasir Mas.
Di samping,projek naik taraf sedia ada serta lain-lain kerja berkaitan di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Jajahan Pasir Mas.
Sementara itu,Pengurus Besar KADA,Mohd Faizul Mustafa berkata,sekiranya Stesen Pam Kasa Baru itu siap sepenuhnya,ia dijangka memberi manfaat kepada 2,700 petani yang mengusahakan tanaman padi seluas 10,000 ribu hektar.
Katanya,projek dijangka siap dalam tempoh dua hingga dua tahun setengah bagi menyokong pam air KADA yang sedia ada.