Rumah Permainan hiburan Produk Teknologi Perniagaan setiap minggu Gambar kereta Komuniti pemain Lebih

Yang di-Pertuan Agong berangkat ke Arab Saudi mulakan lawatan negara

2025-11-03 HaiPress

Lawatan negara Yang di-Pertuan Agong,Sultan Ibrahim,ke Arab Saudi mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi lawatan negara pertama Seri Paduka Baginda ke negara itu,selepas kali terakhir dilakukan oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada tahun 1984/RTM

SUBANG,3 November -Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat ke Arab Saudi sebelum ke Bahrain bagi memulakan lawatan negara.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang,pada pukul 9.00 pagi.

Hadir mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof,Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan,Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil,Menteri Kesihatan Datuk Dr Dzulkefly Ahmad,Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pelancongan,Seni Dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Turut hadir,Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar,Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar,Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar,Speker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul serta beberapa pegawai kanan kerajaan.

Sebelum berangkat,Sultan Ibrahim berkenan menerima Tabik Hormat Diraja daripada Pasukan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dengan diiringi tembakan meriam 21 das dan nyanyian lagu Negaraku yang diketuai oleh Mejar Muhammad Fikri Senan Ketua.

Lawatan itu mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi lawatan negara pertama Seri Paduka ke Arab Saudi,selepas kali terakhir dilaksanakan oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada tahun 1984.

Ia sekali gus dijangka membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia dengan Arab Saudi dan Bahrain,yang telah terjalin sejak 68 tahun lalu.

Sepanjang berada di Riyadh,Seri Paduka dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi,Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud,di Istana Yamamah.

Lawatan rasmi ini juga dijangka mengukuhkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang,termasuk perdagangan,pelaburan dan hal ehwal Islam,selain mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara di peringkat tertinggi.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Permainan Nut    Hubungi kami SiteMap