2025-11-10 HaiPress

Foto RTM
KUALA LUMPUR,10 November - Institusi tempatan meneruskan aliran belian bersih untuk tempoh lima minggu berturut-turut dengan rekod kemasukan dana bernilai RM280.7 juta,minggu lalu.
Menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB),pelabur runcit tempatan kembali menjual dengan nilai RM195.2 juta,selepas hanya seminggu mencatat belian bersih.
Sementara itu,pelabur asing terus melanjutkan trend jualan bersih sebanyak RM85.4 juta untuk lima minggu berturut-turut.
MBSB memaklumkan,pelabur asing menjadi penjual bersih bagi tiga daripada lima hari dagangan minggu lalu,dengan jumlah tertinggi direkodkan pada hari Isnin sebanyak RM158.8 juta,diikuti Khamis (RM129.4 juta) dan Jumaat (RM45.4 juta).
Aliran masuk bersih pula direkodkan pada hari Selasa (RM109.8 juta) dan Rabu (RM138.4 juta).
Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi ialah perladangan (RM138.4 juta),diikuti produk dan perkhidmatan pengguna (RM137.1 juta) serta penjagaan kesihatan (RM80.2 juta).
Tiga sektor yang mencatat aliran keluar bersih tertinggi pula ialah utiliti (RM134.3 juta),telekomunikasi dan media (RM91.4 juta) serta teknologi (RM83.4 juta).
Purata jumlah dagangan harian turut menunjukkan penurunan secara keseluruhan minggu lalu dengan aktiviti dagangan oleh pelabur runcit tempatan susut 6.4 peratus,manakala institusi tempatan menurun 15.2 peratus.
Sebaliknya,aktiviti pelabur asing meningkat sebanyak 3.2 peratus.