Rumah Permainan hiburan Produk Teknologi Perniagaan setiap minggu Gambar kereta Komuniti pemain Lebih

BRICS tegaskan komitmen dagangan adil dan pembaharuan IMF

2025-07-07 IDOPRESS

Deklarasi BRICS ke-17 di Rio De Janeiro,Brazil

KUALA LUMPUR,6 Julai - Perkumpulan BRICS menyatakan pendirian tegas dalam mempertahankan sistem perdagangan pelbagai hala berlandaskan peraturan.

Selain menolak langkah perlindungan sebelah pihak yang menghukum,diskriminasi serta bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan dilaksanakan atas alasan kebimbangan alam sekitar.

Blok itu juga menggesa pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa serta keadilan lebih ketara dalam perdagangan global.

“Dalam bidang kewangan,kami mengulangi penegasan terhadap keperluan untuk meningkatkan kuota negara-negara pesat membangun dan sedang membangun dalam Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) selain penyertaan kelompok itu sebagai pihak yang mempunyai kepentingan dalam Bank Dunia,” kata blok itu dalam halaman ke-31 Deklarasi BRICS ke-17 Rio De Janeiro di Brazil.

Deklarasi bersempena Sidang Kemuncak BRICS yang bertemakan “Memperkukuh Kerjasama Selatan Global bagi Tadbir Urus Lebih Inklusif dan Mampan” itu turut mengetengahkan rangkuman pencapaian yang diraih sepanjang tempoh Brazil selaku Presiden BRICS bagi 2025.

“Kami menyokong (usaha) memperdalam dialog mengenai penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dan pelaburan serta kebolehoperasian sistem pembayaran negara-negara BRICS,” katanya.

Atas alasan itu,BRICS telah memulakan perbincangan bagi mewujudkan inisiatif Jaminan Pelbagai Hala (BMG) dan bagi meningkatkan keupayaan berkaitan isu insurans semula.

Dalam pada itu,BRICS turut memperakui kepentingan Kecerdasan Buatan (AI) yang disifatkan sebagai peluang bermakna dalam usaha meningkatkan pembangunan ke arah masa depan lebih makmur.

"Bagi mencapai matlamat berkenaan,kami menegaskan bahawa tadbir urus global AI perlu mampu menangani potensi risiko serta keperluan semua negara,termasuk negara-negara dari Selatan Global," katanya.

Berikutan itu,BRICS berkata usaha kolektif global diperlukan bagi mewujudkan tadbir urus AI yang berteraskan nilai bersama,menangani risiko,membina kepercayaan serta memastikan kerjasama dan akses antarabangsa yang luas dan inklusif atau terangkum.

Pelaksanaan semua aspek itu perlu selaras dengan kedaulatan undang-undang setiap negara,termasuk usaha memperkukuh keupayaan negara sedang membangun dengan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai terasnya.

Perkumpulan BRICS yang berperanan sebagai forum penyelarasan politik dan diplomatik bagi negara-negara Selatan Global dengan kerjasama yang merentasi pelbagai sektor,pada awalnya ditubuhkan oleh Brazil,Rusia,India dan China.

Blok itu kemudiannya berkembang dengan penyertaan Afrika Selatan pada 2011 dan seterusnya Mesir,Ethiopia,Iran,Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2023 serta Indonesia pada 2024.

Selain itu,Malaysia serta Belarus,Bolivia,Kazakhstan,Cuba,Nigeria,Thailand,Vietnam,Uganda dan Uzbekistan telah diterima sebagai negara rakan BRICS. - BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Rangkaian Permainan Nut    Hubungi kami SiteMap