
Ahmed Nabeeh Abdul Gaadhir
KUALA LUMPUR,5 Ogos – Seorang qari dari Maldives yang menghidap autisme menjadi antara tumpuan utama pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) 2025 yang sedang berlangsung di ibu negara.
Ahmed Nabeeh Abdul Gaadhir,23 tahun menghidap autisme tahap serius (severe autism) yang menyebabkan beliau kurang berkomunikasi dan tidak mampu bertutur seperti insan normal.
Namun,beliau tetap bertekad untuk meraih kemenangan demi membuktikan bahawa ketidakupayaan bukanlah penghalang untuk menjadi qari yang cemerlang.
Menurut adiknya,Mohamed Nahzaan matlamat mereka bukan sekadar untuk menang,tetapi bagi memberi inspirasi kepada dunia.
Mohamed NahzaanAbdul Gaadhir (kanan)
“Matlamat kami adalah untuk mendapatkan tempat pertama – bukan semata-mata kerana kedudukan,tetapi untuk menghantar mesej kepada dunia bahawa individu seperti Ahmed juga boleh berdiri setaraf dengan insan normal. Walaupun mereka menghidap kecacatan dan melalui penderitaan,mereka masih mampu menunjukkan kebolehan mereka,” katanya.Bakat Ahmed mula dikesan oleh keluarganya seawal usia dua tahun,apabila beliau menunjukkan minat yang luar biasa terhadap alunan bacaan ayat-ayat al-Quran di mana sahaja berada.Namun,proses membimbing Ahmed tidak mudah. Emosi yang tidak menentu dan ketidakmampuannya menunjukkan perasaan merupakan antara cabaran terbesar yang dihadapi keluarganya dalam melatih beliau membaca al-Quran.Ahmed bukanlah orang baharu dalam dunia tilawah. Beliau pernah mewakili Maldives dalam pertandingan di peringkat antarabangsa seperti di Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE),malah sering berjaya mara ke peringkat akhir.Qari istimewa itu juga menjadikan Imam Masjidil Haram,Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais,sebagai sumber inspirasi dan idolanya dalam mempelajari serta memperhalusi seni bacaan al-Quran.