2025-09-01 HaiPress
Foto RTM
KUANTAN,1 September - Felda Bukit Sagu 2 dan 3 di sini berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan berikutan keindahan khazanah alam semula jadi,termasuk air terjun yang masih terpelihara.
Melihat potensi itu,seorang penduduk,Mansor Rejab,73,membangunkan Inap Desa Tok Wan pada 2021 ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),berkonsepkan suasana kampung tradisi lengkap dengan sawah padi sebagai tarikan tambahan.
Di belakang inap desa tersebut terdapat tiga petak sawah padi serta rumah rakit di atas kolam buatan,yang menjadi daya tarikan utama pengunjung.
Mereka juga berpeluang merasai pengalaman mengetam,menampi,dan menumbuk padi menggunakan lesung kayu,selain aktiviti menyauk ikan puyu.
“Kita sebagai peneroka pada awalnya tumpu pada ladang sawit. Tapi akhir-akhir ini,saya cuba alih tumpuan untuk bangunkan kawasan Felda ini kepada industri pelancongan,” katanya.
Dalam tempoh empat tahun,lebih 500 keluarga dari seluruh negara telah menginap di inap desa itu yang menyediakan tiga bilik penginapan.
Mansor dan isterinya,Khoriah Zainal,merancang untuk menambah tarikan baharu tahun hadapan,termasuk membina rumah hijau yang menempatkan kebun anggur dan strawberi di atas tanah seluas satu ekar,selain membangunkan trek ATV untuk aktiviti pengunjung.