2025-09-01 HaiPress
Prof Madya Dr Mustazar Mansur
KUALA LUMPUR,31 Ogos - Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 yang mula disalurkan hari ini menerusi MyKad dijangka dapat memperkukuh keberkesanan penggunaan kad pengenalan itu sebagai medium utama agihan bantuan.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan,Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),Prof Madya Dr Mustazar Mansur berkata,langkah itu juga menjadi kayu ukur kepada tahap kesediaan rakyat Malaysia,khususnya di luar bandar,untuk berintegrasi dengan penggunaan sistem digital dan internet.
"Melalui cara ini,kita dapat menilai tahap kesediaan rakyat Malaysia menggunakan MyKad sebagai platform utama penyaluran bantuan,termasuk subsidi dan bantuan tunai,selain mengelakkan ketirisan kepada warga asing," katanya ketika dihubungi RTM.
Bantuan itu juga berupaya merancakkan ekonomi tempatan,meringankan beban peniaga kecil serta memberi kelegaan kepada isi rumah penerima.
Bagi setiap isi rumah yang mempunyai ahli berusia 18 tahun ke atas,jumlah bantuan boleh mencecah antara RM400 hingga RM500.
Perbelanjaan tersebut,turut membantu peniaga tempatan mengekalkan operasi meskipun berdepan cabaran ekonomi luar.
Sebelum ini,Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim,mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad bawah program SARA.
Bantuan itu mula dikuatkuasakan hari ini di lebih 4,100 rakan niaga SARA di seluruh negara termasuk melalui program Jualan Rahmah.
Pemberian berkenaan diumumkan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 hari ini,sebagai langkah segera meringankan beban sara hidup rakyat serta penghargaan kepada 22 juta penduduk Malaysia,dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2 bilion.