2025-09-03 HaiPress
Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan Mohamd Raizuli ditemui selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.
KUALA LUMPUR,3 September - Lebih 300,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan Festival Budaya Malaysia (FBM) 2025,susulan cuti persekolahan,sekali gus menjadi antara acara seni dan budaya terbesar tahun ini.
Festival lima hari itu bakal berlangsung dari 12 hingga 16 September di Taman Tasik Titiwangsa,Kuala Lumpur,bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan,Seni dan Budaya (MOTAC),Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata,objektif utama penganjuran adalah meraikan kepelbagaian budaya negara yang menjadi identiti bangsa dan cerminan perpaduan masyarakat majmuk,di bawah payung Malaysia Madani.
“Festival ini mengetengahkan elemen budaya,seni dan warisan kita untuk ditonjolkan kepada masyarakat tempatan dan juga pelancong luar negara,” katanya.
Sebanyak 68 aktiviti dirancang bersempena 68 tahun usia kemerdekaan negara,melibatkan lebih 1,000 peserta.
Setiausaha Bahagian Pengurusan Acara MOTAC,Mohamd Raizuli Mat Jusoh menjelaskan,aktiviti yang dirancang meliputi segmen darat,air dan udara,termasuk pertandingan seni budaya,acara sukan tradisional serta persembahan kebudayaan masyarakat berbilang kaum.
“Di sinilah kita dapat menyaksikan kepelbagaian budaya dan kesenian yang melibatkan kaum Melayu,Cina,India,Sabah,Sarawak,Siam,Bugis dan Banjar,” ujarnya.
Datuk Shaharuddin dan Mohamd Raizuli ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri,yang turut membincangkan persediaan serta pengisian menarik festival tersebut.
Lebih istimewa,FBM 2025 menghimpunkan produk serta program seni,budaya dan warisan di satu lokasi strategik di ibu negara. Ia sekali gus mempromosikan Malaysia sebagai Destinasi Pelancongan Budaya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.