
Belanjawan 2026 memperlihatkan komitmen kerajaan dalam meneruskan agenda reformasi fiskal serta memperkukuh pembaharuan dan tadbir urus yang baik/Foto arkib/RTM
KUALA LUMPUR,12 Oktober – Belanjawan 2026 memperlihatkan komitmen kerajaan dalam meneruskan agenda reformasi fiskal serta memperkukuh pembaharuan dan tadbir urus yang baik.
Profesor Madya Sekolah Politik dan Hubungan Antarabangsa,Fakulti Sains Sosial University of Nottingham Malaysia,Dr. Tricia Yeoh berkata usaha tersebut diterjemahkan melalui belanjawan yang dirangka dengan pendekatan berhati-hati dan berhemat.
Beliau menjelaskan,belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) itu turut memberi tumpuan kepada usaha penyatuan fiskal yang diyakini mampu memenuhi matlamat rancangan lima tahun berkenaan.
Dr. Tricia Yeoh/RTM
“Tahun depan akan ada cukai karbon yang akan dikenakan kepada sektor besi,keluli dan tenaga,namun kadar cukainya masih belum ditentukan."Selain itu,terdapat juga cukai eksais yang ditambah kepada industri rokok dan arak,dan penjimatan daripada peluasan tersebut boleh digunakan bagi membiayai pelbagai inisiatif lain,” katanya kepada RTM.Tambah Dr. Tricia,pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang kini berada di peringkat libat urus bersama pihak berkepentingan merupakan kemajuan penting dalam agenda reformasi institusi perundangan negara.Bagaimanapun,beliau berharap kerajaan dapat menjelaskan status pelaksanaan dua lagi akta yang disebut dalam Kenyataan Pra-Belanjawan 2026,iaitu Akta Ombudsman dan Akta Kebebasan Maklumat.Menurutnya,kedua-dua akta tersebut amat penting dalam memperkukuh ketelusan serta integriti pentadbiran awam.